Kerajaan tanggung RM32 juta siar Piala Dunia 2022 Qatar

Kerajaan tanggung RM32 juta siar Piala Dunia 2022 Qatar

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berharap syarikat swasta dan GLC turut berkongsi menanggung kos pembiayaan siaran bersama RTM.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa melancarkan program menjelang sepak mula Piala Dunia 2022 Qatar sempena pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi acara sukan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) menanggung RM32.5 juta bagi menyiarkan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 Qatar secara percuma kepada Keluarga Malaysia, kata Annuar Musa.

Menteri komunikasi dan multimedia berkata, RTM akan menjadi penyiar rasmi bagi acara sukan terbesar dunia itu.

Katanya, sebanyak 41 perlawanan akan disiarkan oleh RTM iaitu 27 perlawanan secara langsung termasuk perlawanan akhir dan 14 siaran tertunda melibatkan 130 jam siaran secara keseluruhan.

“RTM akan menyiarkan perlawanan melibatkan negara ranking tinggi yang mempunyai ramai peminat di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program menjelang sepak mula Piala Dunia 2022 Qatar sempena pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi acara sukan itu.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung dari 20 Nov hingga 18 Dis ini.

Annuar berkata, Piala Dunia 2022 Qatar akan disiarkan menerusi tiga saluran televisyen iaitu TV2, TV Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung melalui RTM Klik, menurut Bernama.

“Oleh itu, saya harap syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat turut berkongsi menanggung kos pembiayaan siaran bersama RTM,” katanya.

Annuar berkata, sejak 2002 iaitu selama 20 tahun RTM tidak putus membida hak penyiaran sama ada siaran langsung atau siaran tertunda bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kejohanan empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, bola sepak bukan hanya sekadar sukan tetapi industri yang besar dan mempunyai peminat rentas kaum serta negara.

Piala Dunia mempunyai tontonan seluruh dunia yang cukup besar dalam menjana pendapatan tinggi bagi penajaan dan industri penyiaran, katanya.

Persetujuan pembelian hak siaran ditawarkan syarikat Sport Media & Distributors Sdn Bhd dengan siaran pertama pada 20 Nov menyaksikan perlawanan antara Qatar dan Ecuador.

Piala Dunia 2022 Qatar dengan slogan “Now Is All” akan berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara.

Pada edisi Piala Dunia 2018, RTM mendapat hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawanan antarabangsa itu dengan 27 daripadanya ditayang secara langsung, membabitkan kos keseluruhan sekitar RM30 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.