Fokus RUU kawalan tembakau, jangan sampai pinggir isu kesihatan lain, kata bekas menteri

Fokus RUU kawalan tembakau, jangan sampai pinggir isu kesihatan lain, kata bekas menteri

Dzulkefly Ahmad berkata, isu kesihatan lain seperti doktor kontrak dan krisis penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi serta diabetes juga perlu mendapat perhatian.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad tidak menganggap usaha KKM bagi inisiatif GEG sebagai terburu-buru, malah beliau menyambut baik usaha itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) agar tidak mengabaikan isu kesihatan lain di samping usahanya menjayakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, isu kesihatan lain seperti doktor kontrak, Covid-19, Influenza A, cacar monyet dan krisis penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis juga perlu diutamakan.

“Isu-isu kesihatan yang lain ini perlu terus diberi perhatian serius oleh kementerian, sama seperti inisiatif Generasi Penamat (GEG) ini (merujuk kepada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok),” kata Dzulkefly kepada FMT.

Dzulkefly yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi bagaimanapun berkata, beliau tidak menganggap usaha KKM berhubung inisiatif GEG sebagai terburu-buru, malah menyambutnya dengan baik.

“Sejujurnya, saya tidak lihat agenda GEG sebagai terburu-buru, bahkan menteri kesihatan (Khairy Jamaluddin) sendiri bersetuju meletakkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok itu dalam penelitian terperinci PSC.

“Jawatankuasa ini bersifat rentas parti serta melibatkan pakar pelbagai bidang kesihatan, pendidikan serta ahli-ahli akademik dan penyelidik melalui dapatan terkini,” jelasnya.

Menurutnya, pendapat PSC supaya inisiatif GEG dimulakan dengan kelompok individu lahir pada tahun 2007 berbanding cadangan asal iaitu 2005 turut dipersetujui selain memastikan keberkesanan penguatkuasaan sebelum ia dilaksanakan.

Beliau juga berpendapat, penguatkuasaannya tidak boleh bersifat menghukum dengan mengenakan kompaun terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Selasa lepas, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke PSC untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Usul RUU berkenaan yang masih berada di peringkat bacaan kali kedua, dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen untuk dirujuk ke jawatankuasa berkenaan selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen, seterusnya digulung oleh Khairy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.