Portal aduan buli dilancar minggu depan

Portal aduan buli dilancar minggu depan

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata portal itu menyediakan platform pelaporan lengkap dan tersusun agar isu buli di institusi sekolah dapat diminimumkan.

Radzi Jidin berkata butiran pengadu dirahsiakan dan sebarang aduan berhubung kejadian buli disampaikan menerusi emel, pelaporan pada sistem sedia ada atau melalui panggilan telefon.
PETALING JAYA:
Pelajar atau ibu bapa diberi akses terus untuk melaporkan sebarang kes buli di sekolah masing-masing melalui portal khas bakal diwujudkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata portal itu sekali gus bakal menyediakan satu platform pelaporan yang lengkap dan tersusun agar isu buli di institusi sekolah dapat diminimumkan.

“Menerusi portal ini, sebarang aduan berhubung kejadian buli dapat disampaikan menerusi emel, pelaporan pada sistem sedia ada atau melalui panggilan telefon.

“Melalui portal ini juga, pengadu tidak perlu risau aduan mereka diketahui oleh orang lain kerana ia adalah sulit dan yang lebih penting setiap aduan disiasat kebenarannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Radzi berkata, portal itu yang dijangka dilancarkan seawal minggu depan, adalah satu daripada pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan KPM dalam menangani isu berkaitan buli di sekolah.

Katanya, pendekatan lain yang dijalankan bagi mengurangkan isu buli di sekolah adalah penubuhan jawatan kuasa dipengerusikan bekas ketua pengarah pendidikan, Habibah Abdul Rahim.

“Jawatan kuasa ini melihat kepada penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tatacara dan panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah,” katanya.

Menurut Radzi, konsep Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan kementerian sejak Februari lalu banyak menekankan kepada elemen dalam diri murid agar mereka dapat membuat keputusan tepat selain mengelakkan diri daripada terlibat kes buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.