
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kebakaran yang merebak seluas kira-kira dua ekar di Jalan Changkat Mukim 11 dilaporkan berlaku sejak 12 tengah hari, semalam.
Katanya, keadaan kini bagaimanapun terkawal selepas pasukan bomba melakukan kerja pemadaman serta pencegahan termasuk membuat “firebreak” bagi mengelak kebakaran terus merebak ke kawasan lain.
“Sehingga kini, kebakaran adalah terkawal namun kejadian ini berlaku ketika Pulau Pinang tidak hujan sejak sembilan hari lalu dan ini juga menyumbang kepada pencemaran udara di sekitar Nibong Tebal,” katanya dalam kenyataan.
Sharifah berkata, pemantauan Indeks Kualiti Udara Seberang Perai menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah meningkat ke tahap yang tidak sihat iaitu 95.
“Dalam keadaan IPU berada pada tahap sederhana ini, semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis dicerobohi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.
Beliau berkata, pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 29A (2) atau 29B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, ia memperuntukkan kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan, denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.