
Satu kelompok masyarakat di negara ini bergelut setiap hari dengan tugasan yang bagi kita begitu mudah, malah dilihat enteng. Mereka juga sukar mendapat kerja seterusnya ini menjejaskan keupayaan untuk mencapai mobiliti kewangan.
Pada 2019, lebih 500,000 orang kelainan upaya (OKU) telah didaftarkan secara rasmi daripada kira-kira 4.86 juta golongan itu di Malaysia.
Sebelum ini dikenali sebagai orang kurang upaya, kerajaan mengambil keputusan terpuji dengan mengubah takrifannya kepada orang kelainan upaya. Walaupun halus perbezaannya, maksudnya mendalam dan menjadi peringatan bahawa ramai golongan OKU sebenarnya mampu mencari rezeki, malah dapat membawa nilai tambah kepada mana-mana perniagaan, jika diberi peluang sewajarnya.
Jika kita boleh menilai seseorang daripada cara ia melayan orang tidak dikenali, begitu juga sesebuah organisasi dapat dinilai menerusi tahap inklusiviti diamalkan.

Pada 2018, inisiatif penting seperti ‘Break the Silence’ oleh Grab Malaysia dilancarkan dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) bagi memperbaiki pengalaman pemandu yang pekak atau bermasalah pendengaran.
Ini disusuli #TechuntukSemua pada Mei 2021, bertujuan menangani cabaran berkaitan guna tenaga tidak penuh, yang turut meliputi misi perjuangan supaya golongan OKU diberi akses secara saksama dalam ekonomi digital.
Sejak beberapa tahun ini, Grab Malaysia memberikan fokus khusus terhadap mewujudkan peluang sama rata bagi mereka yang sukar mencari pendapatan alternatif atau tambahan, termasuk golongan kelainan upaya. Menerusi platform itu dan teknologi, mereka berusaha menyumbang ke arah membina masyarakat inklusif dengan mengangkat golongan paling lemah supaya dapat turut seiring masyarakat dari segi ekonomi, kewangan dan sosial.
Kini setahun telah berlalu, dan FMT menemui dua individu kelainan upaya, Muhammad Sidek Osman serta Joey Kow, yang mendapat manfaat secara langsung hasil inisiatif berkenaan.

Sidek, 23, dari Setapak menghargai fleksibiliti bukan saja untuk bekerja bila beliau mahu, malah juga memilih lokasi kerjanya. Peluang menyertai ekonomi gig membuka jalan untuknya memperbaiki kewangan, malah beliau kini berani memandang ke arah masa depan dan peluang yang mungkin dapat diceburi.
“Berkat peluang meraih pendapatan dengan Grab, saya kini bercita-cita menyimpan cukup wang untuk membuka kedai sendiri satu hari nanti, seterusnya berkongsi rezeki pula dengan menawarkan peluang kerja bagi orang lain,” katanya.
Sementara itu, Joey Kow yang berasal dari Sabah dan kini menjadi warga KL pula adalah individu kurang upaya pendengaran seperti abangnya. Dua beradik itu kini menjadi pemandu separuh masa bersama untuk Grab.

“Cabaran yang kami hadapi sebagai golongan OKU termasuk kekangan komunikasi dengan orang lain, selain diskriminasi terhadap komuniti kelainan upaya. Bagaimanapun, Grab membuka peluang untuk kami mendapat akses secara saksama bagi meraih pendapatan dan tiada sesiapapun yang tercicir.”
Beliau mengakui bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif Grab untuk mewujudkan persekitaran inklusif bagi golongan kelainan upaya. “Mereka juga amat bertolak ansur dengan golongan OKU dan berusaha melindungi kebajikan kami, termasuk memberikan lesen sewajarnya, kad OKU serta manfaat lain.”
Setakat ini, seramai 2,100 OKU menyertai platform mereka di rantau ini, dan Grab menyasarkan untuk menggandakan bilangan itu menjelang 2025.
Presiden MFD, Mohamad Sazali Shaari berkata: “Kami juga bangga dengan kerjasama yang telah lama terjalin bersama Grab Malaysia ini bagi memastikan komuniti OKU di Malaysia mampu memiliki ilmu, kemampuan dan peluang bagi menjadi tenaga kerja.
Di bawah #TechUntukSemua, Grab Malaysia memperkenalkan ‘Scan To Order’ dengan kerjasama MFD awal tahun ini.
Namun, masih banyak cabaran dihadapi komuniti OKU dalam pada mereka menerima sokongan daripada organisasi seperti Grab serta MFD.

Sejak beberapa tahun lalu, semua pemandu e-panggilan termasuk dari kalangan OKU menghadapi cabaran berkaitan dengan memenuhi regulatori, khususnya kos tinggi bagi mendapatkan lesen PSV (pemandu e-panggilan) yang turut merangkumi pemeriksaan kesihatan, latihan dan peperiksaan. Ini lebih sukar bagi golongan OKU kerana mereka berkemungkinan tetap dinafikan lesen PSV, sekalipun memenuhi semua syarat diperlukan.
Ketua Persatuan Pemandu E-hailing OKU Fizikal Malaysia, Niyaz Naathan berkata: “Pemandu tanpa masalah keupayaan boleh pergi ke mana-mana klinik swasta untuk lulus pemeriksaan kesihatan. Namun berbeza bagi golongan OKU apabila proses memperoleh lesen PSV lebih rumit, malah memerlukan pemeriksaan kesihatan penuh yang hanya boleh dilakukan di hospital rehabilitasi kerajaan.”
“Kerajaan perlu meneliti undang-undang serta peraturan sedia ada, dan meluluskan lesen PSV untuk golongan OKU bagi membolehkan mereka berdikari sepenuhnya. Kami merancang bekerjasama dengan pihak pengurusan Grab Malaysia bagi menyelesaikan isu lesen PSV ini.”
Dalam pada semua cabaran ini, Grab tetap utuh dengan komitmen mereka apabila membentuk Jawatankuasa Perwakilan Pemandu merangkumi pemandu OKU serta rakan penghantar, untuk bertindak sebagai penghubung antara Grab dengan komuniti rakan kongsinya bagi lebih memahami keperluan mereka.
Usaha ini terus memastikan sesiapapun, tanpa mengira latar belakang atau keupayaannya, mampu menikmati manfaat daripada ekonomi digital dengan mewujudkan pengalaman Grab yang lancar untuk semua sama ada rakan pemandu, penunggang penghantar, peniaga atau pengguna.

Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata: “Golongan OKU perlu diberi peluang untuk memperoleh lesen PSV, tanpa sebarang sekatan atau halangan disebabkan keadaan kelainan upaya mereka. Ramai daripada mereka mampu memandu sama seperti golongan yang tiada kelainan upaya. Perkhidmatan e-panggilan tidak terlalu mendesak, mudah dikendalikan dan tidak memerlukan sifat fizikal tertentu untuk dilaksanakan.”
‘Kerajaan boleh membantu golongan OKU dengan menawarkan geran atau pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan mereka membeli motosikal atau kereta kecil, yang diubah suai mengikut keperluan masing-masing, seterusnya memastikan keadaan lebih mudah serta selamat untuk mereka mengendalikan kenderaan berkenaan. Objektif pendekatan ini adalah untuk menyediakan peluang bagi membolehkan mereka berdikari dan mampu beroperasi secara bebas.”
Menyokong semua orang – tidak kiralah jiran atau orang tidak dikenali sekalipun – memerlukan lebih ramai penyokong bagi menggerakkan inisiatif seperti itu.
Setiap peringkat dalam kerajaan perlu menggalakkan dan melibatkan pelbagai organisasi bagi terus memupuk program-program inklusif yang memanfaatkan masyarakat OKU, seterusnya memperkayakan hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya.