Polis siasat kes buli MRSM, rambut pelajar dipotong, baju diconteng

Polis siasat kes buli MRSM, rambut pelajar dipotong, baju diconteng

Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Polis menerima dua laporan pada 8 dan 12 Ogos lalu berhubung kes membuli seorang pelajar perempuan MRSM Kuantan.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat kes membuli seorang pelajar perempuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan.

Siasatan itu menyusul catatan ibu mangsa, Nazrah Mohamed menerusi Facebook semalam yang mendakwa tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan MRSM Kuantan berhubung kes membuli anaknya.

Dalam hantaran itu, beliau berkata, baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur, selain mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Zahari Wan Busu berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat, selepas dua laporan berasingan berhubung kejadian itu diterima pada 8 dan 12 Ogos lalu.

“Kami sudah bercakap dengan mangsa dan dua rakan sebiliknya, begitu juga pengetua sekolah dan warden,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, polis akan ke sekolah itu hari ini untuk mengenal pasti pelajar lain yang mungkin boleh memberikan maklumat berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit dalam kes buli.

Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, buli adalah kes serius dan berdasarkan SOP Mara, pelajar terbabit boleh dibuang sekolah.

“Misalnya insiden di MRSM Kepala Batas, pelajar buli pelajar lain apabila lembaga disiplin dapat sahkan, memang (pelajar itu) dibuang,” katanya selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 di Serdang, Selangor.

Mahdzir berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan beliau akan meneliti laporan lengkap selepas disiapkan nanti.

“Bila sudah buat laporan polis, kita tak nak komen apa-apa lagi. Biarlah polis siasat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.