Bersatu ada peranan, bukan menumpang parti lain, Rosol beritahu Khairuddin

Bersatu ada peranan, bukan menumpang parti lain, Rosol beritahu Khairuddin

Ia susulan kenyataan bekas pemimpin PAS itu yang mendakwa Bersatu 'parti kecil' dan bergantung kepada kekuatan jentera parti lain.

Rosol Wahid berkata parti dalam Perikatan Nasional bekerja sebagai satu pasukan besar sekali gus menolak dakwaan Khairuddin Aman Razali bahawa Bersatu ‘parti kecil’.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rosol Wahid menolak dakwaan bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali yang menuduh partinya kecil dan bergantung kepada kekuatan jentera parti lain.

Rosol yang menjawab tuduhan itu berkata, isu berkenaan tidak timbul kerana bukan sahaja Bersatu, malah parti lain seperti PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan mempunyai peranan sendiri dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Sebab itu tidak timbul isu siapa guna siapa, parti mana pergunakan parti apa, kerana terdapat satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara semua parti bawah PN.

“Kita semua bekerja sebagai satu pasukan besar bawah nama PN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Rosol berkata, sesiapa sahaja boleh memberi pandangan peribadi mereka namun penilaian sebenar dan paling penting bagi PN adalah penerimaan rakyat di peringkat akar umbi.

Sebelum ini Khairuddin dilaporkan berkata, Bersatu dipimpin Muhyiddin Yassin adalah “parti kecil” yang hanya bergantung kepada kekuatan parti lain dalam PN.

Malah, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menyifatkan tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat kesilapan apabila menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bukannya Umno.

Kenyataan Khairuddin turut mendapat kecaman Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor yang menyelarnya sebagai “haiwan politik” yang tidak mengenang jasa Bersatu.

Sanusi yang dipetik berkata, beliau menganggap Khairuddin sudah tidak relevan untuk memberi komen atau nasihat kepada PAS.

Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS pada 11 Feb lalu, sebulan selepas beliau digugurkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.