
Beliau berkata, ia termasuk bagaimana kuasa yang ada padanya sebagai menteri untuk membantu pekerja berkenaan.
“Dalam seminggu dua ini, saya akan buat pengumuman bagaimana kita akan menggunakan kuasa menteri sumber manusia untuk memberi jaringan keselamatan dan sebagainya.
“Sebelum itu, saya akan bawa perkara ini kepada Jemaah Menteri untuk dapat kelulusan,” katanya selepas pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) dan Portal MyPerkasa TVET di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, media melaporkan sekumpulan penghantar makanan memboikot khidmat penghantaran selama 24 jam kerana tidak berpuas hati dengan syarikat pengendali.
Mengenai isu kekurangan pekerja asing hingga syarikat Malaysia kehilangan berbilion ringgit termasuk sektor ladang sawit, Saravanan berkata, ia sudah selesai selepas negara sumber membatalkan pembekuan penghantaran pekerja mereka.
“Setakat ini, tidak ada masalah kekurangan pekerja asing lagi. Semua 14 negara sumber telah membuka ruang untuk mengambil pekerja asing. Mereka (syarikat) yang sudah bayar levi dan boleh pergi ke pesuruhjaya untuk mengambil dokumen,” katanya.
Pada 19 Julai lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin memaklumkan, purata kekurangan pekerja di sektor perladangan sawit dianggarkan mencecah 54,190 orang.
Katanya, dari Januari hingga Mei tahun ini, purata kekurangan pekerja di sektor perladangan sawit adalah dianggarkan 54,190 orang, di mana 53.4% (28,940 orang) daripadanya bagi kategori kerja penuaian dan pemungutan buah tandan segar (BTS).
Selain itu, syarikat Malaysia, daripada sektor perladangan sawit hingga pengeluar semikonduktor, dilaporkan terpaksa menolak tempahan dan terlepas jualan berbilion ringgit akibat kekurangan lebih sejuta pekerja yang mengancam pemulihan ekonomi negara.