
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata ini kerana pada PRU14 lalu, 20 daripada kerusi itu jatuh ke tangan PH sekali gus membolehkan mereka menguasai kerajaan.
Justeru, katanya Umno dan PAS perlu kembali ke meja rundingan untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung satu sama lain.
“Saya mencadangkan kerusi-kerusi ini dinamakan ‘Kerusi Muafakat Nasional’, iaitu mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar MN. Di 27 kerusi MN ini, Umno dan PAS perlu kembali ke meja perundingan untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung satu sama lain.
“Malah adalah terlebih baik di kerusi Muafakat Nasional ini, kedua-dua parti, Umno dan PAS boleh membentuk jentera bersama supaya calon mereka boleh menang selesa.
“Mahu tidak mahu, Umno dan PAS tidak boleh bertembung di kerusi-kerusi itu,” katanya di Facebook.
Katanya, kerusi MN dinamakan dengan mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar MN.
Beliau yakin rundingan di 27 kerusi itu akan dipersetujui parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menjadi mimpi ngeri buat PH disebabkan peluang mereka menang di kerusi itu menjadi malap.
Zuhdi membuat cadangan itu selepas kerjasama besar MN yang digerakkan Umno dan PAS sebelum ini tidak dapat mewarnai corak pertandingan dan pengundian di PRN Melaka dan Johor dan dijangka diheret sehingga PRU15.
“Oleh sebab itu, MN dilihat boleh menjadi penyelamat iaitu sekurang-kurangnya boleh menafikan peluang untuk PH menang,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan hasrat untuk membentuk kerjasama seperti digariskan dalam piagam MN masih jauh untuk dicapai, namun usaha untuk menghalang PH menang tetap wajib diusahakan.
Hubungan Umno dan PAS menerusi MN sejak kebelakangan ini semakin retak apabila pemimpin utama parti saling membalas kritikan
Ia berlaku selepas usaha menggabungkan tiga parti utama Melayu-Umno, PAS dan Bersatu menemui jalan buntu sehingga membawa kepada pembentukan PN.