
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini juga menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi kembali normal, apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Eksport terus disokong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” kata BNM.
Menurut bank pusat itu, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan sebahagiannya oleh asas rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Jun 2021, pertumbuhan bagi April dan Mei 2022 sebaliknya menunjukkan prestasi kukuh.
“Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5% berbanding 3.8% pada suku pertama 2022,” katanya.