
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata RCI itu bertujuan mengenal pasti langkah menyeluruh bagi memperkasa keselamatan siber negara, selain mendapatkan keadilan buat mangsa kecurian data peribadi.
“Memandangkan lebih 100 juta data peribadi dicuri dalam lima tahun kebelakangan ini termasuk insiden iPay88, dan oleh kerana keselamatan data peribadi rakyat Malaysia juga merupakan isu keselamatan negara, maka saya menggesa kerajaan menubuhkan suatu RCI bagi menyiasat sepenuhnya insiden pencerobohan, kecurian dan kebocoran data peribadi yang terjadi.
“Selain itu, mengenalpasti langkah menyeluruh bagi memperkasa keselamatan siber negara dan mendapatkan keadilan buat mangsa kecurian data peribadi termasuk mangsa ‘scammer’,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, data peribadi individu perlu dilihat sebagai aset dan khazanah negara yang perlu diberi perhatian serius.
“Keselamatan data peribadi mesti diberi perhatian amat serius, dihormati sepenuhnya, dan dilindungi sepanjang masa,” katanya.
Semalam, Fahmi mempersoalkan tindakan iPay88 yang hanya mengeluarkan maklumat berhubung insiden pelanggaran data lebih dua bulan selepas kejadian itu.
Tegasnya, firma berkenaan gagal menyebut jumlah data yang terlibat dalam pelanggaran itu, serta memberitahu iPay88 untuk menghormati pengguna mereka.
“Ini sebab kenapa kita wajib pinda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 segera. Pengguna yang terkesan wajib diberitahu apa telah terjadi kepada data mereka.
“Syarikat-syarikat komersial yang gagal menjamin keselamatan data wajar dihukum, sama ada dengan membayar pampasan kepada pengguna yang terkesan, atau dengan mengheret pihak pengurusan ke mahkamah, atau kedua-duanya,” katanya di Facebook.