
Utusan Malaysia yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, agensi itu sedang memperincikan kertas siasatan membabitkan Rohana dan kini giat mendapatkan semula wang terbabit.
“Kertas siasatan berkenaan dalam proses untuk diperincikan dan SPRM sedang proses mendapatkan aset-aset tersebut,” kata sumber itu.
Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York sebelum ini, Leissner yang juga saksi pendakwa berkata, dia memberi Rohana USD10 juta dan wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.
Siasatan ke atas 1MDB, yang dianggap skandal kewangan terbesar di dunia, menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng oleh pelbagai pihak.
Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) itu mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.
Pada April lalu, Rohana yang dikatakan menjalin hubungan dengan Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta diberikan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc itu.