
Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin berkata, pindaan akta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan memerlukan banyak perbincangan kerana melibatkan pelbagai aspek.
“Dalam konteks ini, banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia membabitkan pelbagai sudut.
“Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu, apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, ” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, jika melibatkan pindaan akta, ia perlu dilakukan sebaik-baiknya kerana tindakan boleh diambil jika ia menyalahinya.
“Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu, apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.
“Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya,” katanya
Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata, perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.
“Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.
“Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian,” katanya.