Hospital Sungai Buloh tarik balik larang pesakit, staf guna khidmat hantar makanan

Hospital Sungai Buloh tarik balik larang pesakit, staf guna khidmat hantar makanan

Pengarahnya Dr Kuldip Singh berkata larangan itu ditarik balik berkuat kuasa serta merta selepas ia dibangkitkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Pada 9 Ogos Hospital Sungai Buloh mengeluarkan memo melarang penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan bagi pesakit dan kakitangan.
PETALING JAYA:
Hospital Sungai Buloh menarik balik larangan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan bagi pesakit dan kakitangan serta merta hanya selepas dua hari memo itu dikeluarkan.

Pengarahnya, Dr Kuldip Singh, berkata pihaknya mengambil tindakan itu mengambil kira pandangan dan maklum balas dikemukakan selepas memo larangan itu dikeluarkan pada 9 Ogos.

“Terima kasih diucapkan atas segala maklum balas dan pandangan yang dikemukakan. Kami akan kekal komited dan prihatin dengan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan kakitangan serta pesakit di hospital ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pekeliling yang melarang penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan bagi pesakit dan kakitangan di sebuah hospital, menyifatkannya sebagai “tidak logik” dan “tidak adil”.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, berkata beliau dimaklumkan bahawa arahan itu dikeluarkan untuk “melindungi kafeteria”.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kesihatan berkata, langkah “membantu” kafeteria tidak sepatutnya mengorbankan kakitangan penjagaan kesihatan, terutamanya mereka yang bertugas selepas kafeteria ditutup pada 6 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.