Bangunan awam lama perlu diselenggara, Annuar beritahu JKR

Bangunan awam lama perlu diselenggara, Annuar beritahu JKR

Ahli Parlimen Ketereh meminta bangunan lama di sekolah berusia berpuluh-puluh tahun perlu dilakukan audit keselamatan.

Annuar Musa menyampaikan sumbangan kepada pelajar SMK Melor yang cedera selepas tangki air pecah, pagi kelmarin. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Struktur bangunan awam termasuk sekolah lama perlu diselenggara bagi menjamin keselamatan terutama kepada pelajar, kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kerja penyelenggaraan adalah bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh dijalankan menerusi pemeriksaan dan pengesahan.

“Bangunan lama yang berada di sekolah berusia berpuluh-puluh tahun perlu dilakukan audit keselamatan, kita perlu selenggara jangan tunggu berlaku peristiwa besar.

“Pihak pentadbiran sekolah kalau mendapati ada bangunan atau struktur lama yang disyaki tidak selamat, mereka wajib melaporkan kepada JKR kerana mereka akan lakukan pemeriksaan dan tentukan sama ada ia selamat digunakan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di Kampung Tasek Sri Kulim, di sini hari ini kepada empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor yang tercedera selepas tangki air sekolah mereka pecah baru-baru ini.

Dalam kejadian 10 pagi kelmarin, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, memaklumkan sekumpulan pelajar dari SMK Melor cedera selepas tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki sekolah berkenaan.

Sementara itu, pelajar tingkatan dua yang tercedera Ilham Nor Mariam berkata, dia masih trauma untuk kembali ke sekolah selepas kejadian tangki air pecah itu.

“Sehingga kini saya masih diberi cuti rehat beberapa hari selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami luka di kepala selain kaki terseliuh akibat terkena serpihan bumbung yang pecah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.