
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), V Mahendran, 38, berkata permintaan Zahid itu dibuat semasa dua bekas pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 dan 16, ke kediaman presiden Umno itu di Country Height, Kajang.
Ketika itu, katanya, Zahid adalah menteri dalam negeri yang mempunyai kuasa dan pengaruh besar dalam merangka dasar serta hala tuju kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya.
“UKSB bersetuju memberi bantuan sumbangan politik bagi memastikan perniagaan UKSB tidak diganggu, memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain cuba melobi kerja yang UKSB sedang jalankan, iaitu berkaitan urusan visa.
“Hasil siasatan juga menunjukkan wang tunai yang diserahkan secara bulanan kepada Zahid disediakan David Tan (bekas pengurus pentadbiran UKSB) atas arahan Harry Lee,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong.
Mahendran berkata, peranan Tan bagi memastikan UKSB mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi permintaan Zahid.
Sebelum ini, Wan Quoris Shah memberitahu mahkamah sama bahawa bantuan kewangan yang diberikannya kepada Zahid bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor KDN, selain mendapatkan sokongan ahli politik itu untuk mengurangkan gangguan daripada pesaing lain yang menjalankan perniagaan serupa.
Mahendran berkata, berdasarkan keterangan Lee, Tan dan Wan Quoris Shah, wang tunai yang dihantar kepada Zahid akan dimasukkan dalam sampul surat.
“Penyerahan wang tunai tersebut akan dibuat setiap bulan mengikut kesesuaian masa Zahid, tetapi kebiasaannya pada 10 malam di Seri Satria, Putrajaya, iaitu kediaman rasmi Zahid dan Country Heights.”
Selain itu, saksi pendakwaan ke-18 itu juga berkata, peranan utama Wan Quoris Shah sebagai pengarah UKSB tertumpu kepada kerja perhubungan awam syarikat itu dan bukan dari aspek teknikal.
“Pelantikan Wan Quoris untuk mengembangkan perniagaan dengan cara melobi bagi mendapatkan kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan kerajaan Malaysia.”
Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah SGD13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan perjanjian kontrak membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh SGD1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 untuk dirinya daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa masih berlangsung.