Warga emas rentung, rumah terbakar di Tangkak

Warga emas rentung, rumah terbakar di Tangkak

Mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai Ab Karim Md Aroff, 93, manakala isterinya, Jibah Md Hussin, 87, melecur 30% pada bahagian badan.

Kebakaran yang mengorbankan warga emas berusia 93 tahun di Kampung Kesang Laut semalam turut memusnahkan 30% daripada keseluruhan rumah. (Gambar Bomba)

JOHOR BAHRU Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Rafiah Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa, Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

Katanya, 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam. Kebakaran memusnahkan 30% daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, isteri mangsa yang melecur 30% badannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Rafiah berkata, setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.