Tetamu tak patuhi kod etika pakaian, Aman Central mohon maaf

Tetamu tak patuhi kod etika pakaian, Aman Central mohon maaf

Menurut Aman Central, individu berkenaan adalah tetamu dan tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan pihak penganjur.

Semalam, tular di media sosial gambar model wanita berpakaian menjolok mata pada KFW22 yang berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 Ogos lalu di Aman Central, Alor Setar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22), Aman Central memohon maaf susulan penyebaran gambar yang memaparkan seorang individu berpakaian seksi ketika acara berlangsung di pusat beli-belah tersebut minggu lalu.

Aman Central dalam kenyataan berkata, individu berkenaan adalah tetamu dan tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan pihak penganjur.

“Kami kesal atas segala kesulitan berlaku dan akan memastikan etika pemakaian ditetapkan di mana-mana majlis Aman Central dipantau lebih ketat selepas ini,” katanya.

Katanya, pihak penganjur mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum majlis dijalankan.

“KFW22 adalah acara tahunan di Aman Central bagi menampilkan pereka fesyen tempatan serta mempromosikan pakaian dan jenama di pusat beli-belah itu. Acara tersebut tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak.

“Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun acara dibatalkan pada tahun sebelumnya akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Semalam, tular di media sosial gambar model wanita berpakaian menjolok mata pada KFW22 yang berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 Ogos lalu di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.

Susulan itu, warganet mengkritik dan mempersoalkan kepimpinan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Hayati Othman berkata tindakan akan dikenakan ke atas pihak berkenaan jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.