MyCC cadang penalti kewangan RM46.36 juta terhadap FFM Bhd

MyCC cadang penalti kewangan RM46.36 juta terhadap FFM Bhd

Ini kerana, MyCC mengesan FFM Bhd antara lima yang didakwa melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Pada 5 Ogos, MyCC mengeluarkan keputusan yang dicadangkan terhadap lima pengilangan makanan kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
PETALING JAYA:
Penalti kewangan sebanyak RM46.36 juta ke atas FFM Bhd, anak syarikat 80% PPB Group Bhd antara yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Ia susulan penemuan oleh MyCC di mana syarikat pengilangan makanan itu antara lima yang didakwa melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PPB berkata, dakwaan MyCC terhadap FFM itu adalah berhubung kononnya ia memeterai perjanjian atau amalan bersepadu oleh pengilang makanan ayam tertentu dalam menetapkan harga makanan ayam.

“Tertakluk kepada penemuan berhubung dakwaan pelanggaran itu, MyCC telah mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM46.36 juta ke atas FFM. Tiada impak kewangan dari segi operasi atau material kepada kumpulan itu,” katanya menurut Bernama.

Katanya, FFM mungkin mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC selewat-lewatnya 20 September dan syarikat itu sedang bekerjasama dengan penasihatnya mengenai representasinya kepada MyCC.

Namun begitu, katanya, keputusan dicadangkan dan kemungkinan penalti sebanyak RM46.36 juta bukanlah muktamad dan tidak muktamad ketika ini, kerana MyCC dalam kenyataan akhbar bertarikh 5 Ogos 2022, menekankan bahawa penemuannya adalah sementara dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana entiti telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.

Pada 5 Ogos, MyCC mengeluarkan keputusan yang dicadangkan terhadap lima pengilangan makanan kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Empat pengilang makanan ternakan lain yang menerima notis keputusan yang sama yang dicadangkan oleh MyCC ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.