
Gambar pelancaran kapal berkenaan di Lumut, Perak, tular di media sosial dengan warganet mendakwa kapal itu sudah dapat beroperasi seperti dipaparkan dalam imej terbabit.
Bagaimanapun, Kamarulzaman, yang hadir pada upacara itu, berkata kapal berkenaan belum siap sepenuhnya ketika itu.
“Pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis tentera laut sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan.
Sambil menyifatkan dakwaan tular itu sebagai tidak benar, Kamarulzaman berkata, beliau terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif demi melindungi maruah dan nama baik tentera laut.
“Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking,” katanya.
Ketika mengulas lanjut, beliau berkata, kapal LCS 1 yang dilancarkan ketika itu merupakan kapal sebenar yang sedang dalam proses pembinaan dan bukannya “dummy” termasuk “mast” yang dikatakan palsu.
Katanya, penjelasan berhubung pelancaran LCS berkenaan ada disebut, kapten tentera laut, Azhar Jumaat, dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pada 11 Dis 2021.
Azhar dipetik berkata, “daripada segi tradisi, kami melancarkan nama ini hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja. Justeru, untuk aktiviti pelancaran dan penamaan itu, daripada segi praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga”.
“Mengambil peluang pelancaran aktiviti daripada segi kejuruteraan teknikal ini dan juga dilaksanakan secara bersama dipanggil upacara penamaan itu, Yang Berhormat. Ia adalah memang satu tradisi tentera laut yang telah dilaksanakan sejak yang lepas-lepas”.