
Tertuduh, Anuar Mohd Khamka, 22, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga Pati dari Filipina didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun (ketika kejadian) di kawasan semak Kampung Balimbang, Pulau Bum-Bum, Semporna, 12.30 tengah malam, 4 Feb tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Tahun 2017 yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Menurut laporan Berita Harian, Awang Kerisnada dalam penghakimannya, berkata mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi selain mempertahankan kepentingan awam dan dalam kes ini, mangsa adalah seorang gadis bawah umur dan mahkamah wajar menjatuhi hukuman keras ke atas tertuduh.
“Selepas meneliti fakta-fakta dan hujah pihak pendakwaan, mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini,” katanya.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.