
JKKP menerusi kenyataan, memaklumkan sebanyak 1,273 kes atau 62.3% penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan direkodkan untuk tempoh tersebut, yang disifatkan sebagai membimbangkan.
Untuk rekod pada 2019, sebanyak 5,699 kes telah disahkan sebagai kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan.
“Penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan merupakan satu daripada penyakit pekerjaan yang perlu dilaporkan majikan dan doktor kesihatan pekerjaan (OHD) kepada JKKP berdasarkan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019.
“Kerajaan memandang serius terhadap penyakit pekerjaan kerana ia memberi implikasi negatif dalam aspek ekonomi dan sosial yang perlu ditanggung oleh pekerja, keluarga pesakit, majikan serta negara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Seminar dan Pelancaran Garis Panduan Pengurusan Penyakit Kehilangan Pendengaran Akibat Kebisingan Pekerjaan yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) JKKP Mohd Anuar Embi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Garis panduan itu, menurut JKKP bertujuan membantu pihak industri dan pengamal perubatan terutamanya OHD dalam pengurusan kes berkaitan antaranya dalam aspek mengurangkan dan pencegahan, melaporkan kes dengan lebih mudah dan membantu majikan, pekerja serta OHD dalam proses tuntutan pampasan pekerjaan.
Garis panduan itu juga bertujuan membantu JKKP dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan pendedahan bising di tempat kerja terutamanya berkaitan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019 dan Tataamalan Industri Bagi Pengurusan Pendedahan Bising Pekerjaan dan Pemuliharaan Pendengaran 2019.
JKKP juga memaklumkan proses menggubal garis panduan itu bermula sejak tahun 2019 dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Petronas, Academy of Occupational and Environmental Medicine Malaysia (AOEMM) dan Malaysia Occupational Health Practitioners Association (Mohpa).