
Dalam pekeliling dikeluarkan baru-baru ini, Ketua Pengarahnya, Shafiq Abdullah berkata ketua jabatan dan penyelia dibenarkan menegur penjawat awam yang menyampaikan perkhidmatan kurang memuaskan.
“Setiap pegawai awam hendaklah sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada pegawai atasan dalam usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
“Seseorang pegawai awam yang ditegur tidak sepatutnya bertindak balas dengan melakukan provokasi yang melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan tular,” katanya.
Tindakan itu boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang, tambahnya.
Siasatan sedang dijalankan selepas Shafiq didakwa menegur seorang penjawat awam atas ketidakpatuhan amalan. Siasatan dibuat bagi menentukan sama ada Shafiq secara terbuka mengeluarkan kata-kata kesat ketika menegur pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut Shafiq membuat permohonan maaf terbuka susulan dakwaan itu.
Shafiq berkata, ketua pengarah JPA bukan sahaja bertanggungjawab ke atas jabatan itu tetapi untuk perkhidmatan awam secara amnya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tegasnya, penjawat awam perlu menjalankan tugas dengan cekap sebagaimana amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara.
Sabtu lepas, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali berkata, jawatankuasa khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan itu akan diketuai Peguam Negara Idrus Harun.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Mesyuarat pertama jawatankuasa itu dijadualkan berlangsung pada Jumaat.