
Mangsa berusia 73 tahun itu cedera di kepala dalam kejadian 11 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 45 tahun yang tidak bekerja adalah penagih dadah dan dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu serta kayu ke rumah penduduk tanpa sebab.
Katanya, suspek yang dipercayai berang kerana ditegur mangsa atas perbuatannya itu, balik ke rumah mengambil sebilah parang.
“Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek segera melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran kampung itu selepas melihat kepala mangsa berdarah.
“Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai pada 4.30 petang.
“Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6m yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa turut dirampas.”
Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.