Tiada keperluan lantik TPM buat masa ini, kata menteri Bersatu

Tiada keperluan lantik TPM buat masa ini, kata menteri Bersatu

Menteri Tugas-tugas Khas Abdul Latiff Ahmad berkata jumlah anggota pentadbiran buat masa ini adalah yang terbaik berdasarkan keperluan.

Abdul Latiff Ahmad berkata pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri adalah hak prerogatif perdana menteri bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.
PETALING JAYA:
Tiada keperluan untuk melantik timbalan perdana menteri buat masa ini, kata Menteri Tugas-tugas Khas Abdul Latiff Ahmad.

“Buat masa ini jumlah anggota pentadbiran adalah yang terbaik berdasarkan keperluan, cabaran dan tanggungjawab serta kepakaran yang diperlukan,” kata menteri Bersatu itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Khairil Nizam Khirudin daripada PAS, yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung pelantikan timbalan perdana menteri yang menjadi polemik ketika ini.

Latiff turut berkata, pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri adalah hak prerogatif perdana menteri bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Sejak sebulan lalu, beberapa pemimpin Bersatu mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menunaikan janjinya bagi pelantikan timbalan perdana menteri daripada parti itu.

Ini susulan sokongan Bersatu terhadap pelantikan Ismail sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu.

Ismail sepatutnya bertemu Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berhubung perjanjian itu pada Khamis, namun ia dibatalkan pada saat akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.