Bekas ketua perisik bebas sepenuhnya kes pecah amanah RM50 juta

Bekas ketua perisik bebas sepenuhnya kes pecah amanah RM50 juta

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Hasanah Ab Hamid untuk mengubah perintah mahkamah hari ini, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Hasanah Abdul Hamid dalam kes pecah amanah RM50 juta.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid dibebaskan sepenuhnya daripada kes pecah amanah RM50 juta.

April tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Hasanah daripada kes itu.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan Hasanah untuk mengubah perintah mahkamah daripada DNAA kepada pembebasan penuh, selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Johari tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Disebabkan pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan (kes itu), mahkamah ini akan memberikan perintah lepas dan bebas kepada pemohon.

“Tidak adil membiarkan (tuduhan) terhadapnya lebih setahun,” kata Roz Mawar.

Dengan arahan pembebasan penuh itu, pihak pendakwaan tidak boleh mendakwa Hasanah dengan tuduhan pecah amanah lagi.

Tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan Hasanah selepas pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa ia tidak akan meneruskan kes terhadapnya.

Hasanah didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM50 juta milik kerajaan Malaysia antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Kes itu didengar bermula 6 Okt 2020 hingga 12 April tahun lalu dengan seramai 10 saksi memberi keterangan.

Hasanah diwakili peguam Suhaimi Ibrahim, Hamdan Hamzah, Ashraff Mohd Diah dan Izwan Ariff Ibrahim.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan terhadap Hasanah sedang dijalankan.

Beliau berkata, kelewatan itu disebabkan siasatan serentak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawainya sendiri berhubung kehilangan barang kes berkaitan kes Hasanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.