OKU kudung sebelah tangan, tiada kaki gigih jual donut buatan sendiri

OKU kudung sebelah tangan, tiada kaki gigih jual donut buatan sendiri

Zaitun Ibrahim dilahirkan tanpa tangan kiri, dan kedua belah kaki, melalui hari-hari sukar akibat tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Zaitun Ibrahim bersyukur kuih donut buatannya mendapat sambutan menggalakkan di Padang Polo, Ipoh.
IPOH:
Lahir dengan hanya satu tangan dan tiada kedua-dua kaki bukan dipinta Zaitun Ibrahim. Malah, wanita berusia 35 tahun itu tidak mahu menjadikannya alasan menagih simpati tanpa berusaha sendiri.

Lebih menyedihkan dirinya tidak memiliki dokumen pengenalan diri meskipun lahir di Malaysia kerana ibu bapanya yang merupakan warga Thailand tidak mendaftarkan kelahirannya.

Keadaanya itu menyebabkan dirinya tidak layak memohon bantuan orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain tidak dapat bersekolah dan menyertai program kemahiran bagi membolehkan dirinya mendapat kerja.

“Saya juga tak boleh daftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan saya tak boleh dapatkan khidmat perubatan percuma di hospital kerajaan,” luah Zaitun ketika ditemui FMT.

Bagi meneruskan kehidupan bersama suaminya, Haizol Yit, wanita itu tidak pernah berputus asa dan sering mencari ikhtiar. Saluran YouTube dimanfaatkannya untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.

Tanpa dokumen pengenalan diri kerana ibu bapanya tidak mendaftarkan kelahirannya, wanita itu sedar dirinya tidak layak mendapat bantuan OKU.

Menerusinya, Zaitun belajar menganyam bakul, menggubah jambangan bunga (bouquet) dan mempelajari resipi hidangan enak untuk dijual.

“Sekarang saya aktif menjual kuih donut di Padang Polo (Ipoh), saya adun sendiri tepungnya menggunakan tangan saya yang satu ini.

“Saya nak buktikan saya juga boleh berdikari dan hidup tak meminta-minta,” katanya yang menaruh harapan mendapat MyKad daripada kerajaan suatu hari nanti.

Lahir di Malaysia, Zaitun masih menaruh harapan agar kerajaan dapat memberikan MyKad kepadanya suatu hari nanti .

Beliau juga berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan mesin pengadun kuih untuk meningkatkan jualan dan membeli peti sejuk bagi memulakan perniagaan kuih sejuk beku.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.