Kenapa perlu utamakan isu KPPA berbanding projek LCS, Guan Eng tanya PM

Kenapa perlu utamakan isu KPPA berbanding projek LCS, Guan Eng tanya PM

Lim Guan Eng berkata Putrajaya bertindak "terlalu cepat" untuk membentuk panel peringkat tinggi diketuai peguam negara untuk menyiasat dakwaan terhadap KPPA.

Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak membuat sebarang komen atau memulakan tindakan selepas PAC mengeluarkan laporannya berhubung projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) minggu lepas.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Ismail Sabri Yaakob kerana beliau berdiam diri berhubung penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS), dan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perdana menteri.

Beliau menegaskan, Ismail masih belum membuat sebarang komen atau memulakan sebarang tindakan selepas PAC mengeluarkan laporannya mengenai projek kontroversi itu minggu lepas.

Sebaliknya, beliau berkata Putrajaya bertindak “terlalu cepat” untuk membentuk panel peringkat tinggi bagi menyiasat dakwaan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Shafiq Abdullah telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lepas.

Jawatankuasa khas itu diketuai Peguam Negara Idrus Harun dan ia akan turut disertai Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Jika jawatankuasa peringkat tinggi itu boleh dibentuk berhubung insiden dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat di KLIA, mengapa jawatankuasa peringkat tinggi yang serupa tidak dibentuk untuk bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion?

“DAP tidak membantah jika kerajaan menganggap jawatankuasa peringkat tinggi itu perlu untuk menyiasat dakwaan insiden mengeluarkan kata-kata kesat itu, tetapi perhatian dan kepentingan yang sama harus diberikan kepada skandal LCS apabila RM6 bilion telah dibayar tanpa satu kapal pun dihantar.

“Ismail mesti sedar bahawa (projek LCS) adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti dan ketelusan penuh,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan.

Pada Sabtu, Azam berkata, siasatan SPRM terhadap pembelian enam kapal tempur bernilai RM6 bilion berada di peringkat terakhir dan penemuannya masih belum dapat didedahkan.

Pada Khamis, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) mengenai reka bentuknya.

Wong berkata, tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6 bilion telah dibayar kepada BNS melalui rundingan secara terus.

Tambahnya, TLDM sepatutnya menerima lima unit kapal itu pada Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.