Warga Perancis maut ketika mendaki Gunung Jasar

Warga Perancis maut ketika mendaki Gunung Jasar

Marc Anthoine Anne Mane, 52, bersama lapan rakannya serta seorang pemandu pelancong dilaporkan rebah sebaik tiba di puncak.

Bomba Pahang berkata, Marc Anthoine Anne Mane dan rakannya memulakan pendakian, 8.20 pagi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang pelancong warganegara Perancis disahkan meninggal dunia selepas pengsan ketika mendaki Gunung Jasar di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Mangsa, Marc Anthoine Anne Mane, 52, dikatakan bersama lapan rakannya serta seorang pemandu pelancong mendaki ke puncak gunung tersebut sebelum rebah, 10.20 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata mangsa dan rakannya memulakan pendakian, 8.20 pagi.

Katanya, ketika hampir tiba di puncak, seorang daripadanya didapati tidak sedarkan diri.

“Enam pegawai dan anggota serta polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan, 10.28 pagi.

“Sebaik tiba, komander operasi menyelamat segera memberikan rawatan awal dengan bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang tindak balas. Mangsa yang pengsan dibawa turun dengan menggunakan pengusung sebelum kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Zulfadli berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands.

Difahamkan, sembilan pelancong luar itu membabitkan empat orang dari Perancis, empat warganegara Itali dan seorang warganegara Norway bersama pemandu pelancong tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.