
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, sambil merujuk Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, apa yang berlaku ketika ini merupakan balasan “memungkiri janji” ketika bersama Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Bersatu yang mengepalai PN seperti “marah-marah” kepada Ismail kerana didakwa mungkir janji melantik timbalan perdana menteri dari parti terbabit.
“Tidakkah dulu ada janji PH di mana Bersatu ada di dalamnya berjanji Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri sementara iaitu dua tahun dan selepas itu jawatan perdana menteri diserahkan kepada Anwar Ibrahim?
“Begitu juga Azmin Ali. Tidak kah dia semasa PH berkuasa dan Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ketujuh berhujah keras dan berusaha untuk gagalkan Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir dengan berkempen supaya Mahathir menjadi perdana menteri sehingga penuh penggal Parlimen ke-14, bukannya sekadar dua tahun?” katanya dalam kenyataan.
Hassan berkata, kesemua itu gagal selepas Azmin dalam Langkah Sheraton membawa 10 Ahli Parlimen PKR meninggalkan PH sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan gabungan itu.
“Tidak kah janji kepada Anwar Ibrahim dikhianati?” katanya.
Katanya, begitu juga Hamzah yang bersekongkol dengan Mahathir mengadakan perhimpunan Melayu, pada 2019, sebagai usaha menggagalkan peralihan kuasa kepada Anwar.
Akhirnya, beliau berkata, Muhyiddin menjadi perdana menteri dan bukannya Anwar.
“Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih,” katanya merujuk bidalan.
Katanya, kepandaian Ismail “bersilat” mengatakan beliau terpaksa membubarkan Parlimen sekiranya PN menarik sokongan untuk membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dilihat mematikan langkah Bersatu.
Hassan berkata, sekiranya Bersatu menarik sokongan, ia akan mencetuskan kemarahan rakyat dan melanggar amanat Agong yang menitahkan kestabilan politik diutamakan.