Bekas Exco, anak dilepas dan dibebas tuduhan rasuah, gubah wang haram RM35.7 juta

Bekas Exco, anak dilepas dan dibebas tuduhan rasuah, gubah wang haram RM35.7 juta

Abdul Latif Bandi dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim serta seorang individu lain sebelum ini didakwa atas 37 tuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Exco Johor Abdul Latif Bandi dan 2 individu lain didakwa mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
JOHOR BAHRU:
Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Exco kerajaan negeri Abdul Latif Bandi dan dua lagi individu daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM35.7 juta.

Hakim Kamarudin Kamsun memutuskan bahawa Latif, 56; anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 30; dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, tidak melanggar undang-undang dalam kegiatan mereka yang melibatkan lot bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan dengan itu, ketiga-tiganya dilepas dan dibebaskan.

Katanya, keputusan ini bukan mudah dibuat tetapi mahkamah mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan.

Latif didakwa atas 33 tuduhan rasuah dan empat tuduhan pengubahan wang haram pada 14 Jun 2017.

Amir turut didakwa atas 33 tuduhan rasuah dan 13 tuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, manakala Fauzan didakwa atas empat tuduhan pengubahan wang haram.

Latif antaranya didakwa bersubahat dengan Amir dalam penukaran lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera.

Dia juga didakwa membantu mengurangkan kuantum bayaran yang perlu disumbangkan oleh pemaju kepada Tabung Perumahan Negeri Johor atas penukaran lot-lot tersebut.

Pihak pembelaan diketuai Salehuddin Saidin manakala Wan Shaharuddin Wan Ladin mengetuai pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.