16 jam berpaut pada bumbung bot karam, 6 pemancing diselamatkan

16 jam berpaut pada bumbung bot karam, 6 pemancing diselamatkan

Kejadian berlaku petang semalam selepas bos dalam perjalanan ke Kuala Perlis karam akibat cuaca buruk.

Menurut APMM, semua mangsa berusia antara 34 hingga 70 tahun mahu pulang ke Kuala Perlis, 4 petang selepas selesai aktiviti memancing. (Gambar Facebook APMM)
ALOR SETAR:
Enam pemancing berhadapan detik cemas apabila terapung hampir 16 jam di laut, selepas bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan 8.2 batu nautika tenggara Pulau Timun dekat Langkawi, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, daripada seorang nelayan, 8.55 pagi tadi.

Bot berkenaan dilaporkan karam pada 6 petang, semalam akibat cuaca buruk. APMM kemudiannya telah mengatur gerak bot Perkasa 1228 ke lokasi, selepas menerima aduan berhubung penemuan enam orang sedang terapung di laut.

“Kesemua mangsa diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan, sebelum dipindahkan ke atas bot Perkasa 1228 untuk dibawa balik ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang berumur antara 34 hingga 70 tahun itu, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Perlis, pada 4 petang selepas selesai aktiviti memancing.

“Bot yang dimasuki air itu mulai tenggelam tetapi kesemua mangsa yang memakai jaket keselamatan, berpaut pada bumbung bot yang timbul setelah keseluruhannya tenggelam.

“Seorang mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk pemeriksaan lanjut akibat keletihan, setelah terapung hampir 16 jam di laut sebelum berjaya diselamatkan,” katanya.

Romli berkata, pihaknya mengingatkan mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Pengesan Lokasi Individu (PLB).

“Pusat Operasi APMM negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-9662750,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.