Waris Fajim Juffa layak terima bantuan faedah, menurut Perkeso

Waris Fajim Juffa layak terima bantuan faedah, menurut Perkeso

Ini kerana nahas itu berlaku ketika Allahyarham Fajim Juffa sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Fajim Juffa, 52, terkorban apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II dikendalinya terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di Perak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Waris Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak, 1 Ogos lalu, layak menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Fajim Juffa menerusi warisnya layak menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) memandangkan nahas itu berlaku ketika Allahyarham sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Kenyataan itu menyebut, Ketua Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed telah menyantuni waris juruterbang yang juga seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia itu serta menyampaikan kedua-dua bantuan faedah berkenaan.

“Waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (Hayati Nawi, 50,) untuk seumur hidup dan anaknya (Fatini Nadia Qistina Fajim Juffa, 17) sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

“Adalah menjadi harapan Perkeso agar bantuan faedah ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada waris dan keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam nahas kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa, 52, terkorban apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II dikendalinya terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.