Pagar di Padang Merbok hantar mesej salah, kata Ahli Parlimen

Pagar di Padang Merbok hantar mesej salah, kata Ahli Parlimen

Padang Merbok selalu digunakan sebagai kawasan perkumpulan untuk menuju ke Parlimen yang terletak kira-kira 300m.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, pada sidang media di pekarangan Padang Merbok, berkata pagar didirikan mengganggu aktiviti rekreasi. (Gambar Facebook Fahmi Fadzil)
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen pembangkang berkata tindakan mendirikan pagar di sekeliling Padang Merbok menghantar isyarat salah kepada penduduk di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media di pekarangan Padang Merbok, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, mempersoal sama ada pagar didirikan itu sebagai reaksi terhadap “Walk for judicial independence” dianjurkan Badan Peguam, pada Jun.

Ketika itu, polis menghalang kumpulan peguam berkenaan berarak ke Parlimen, yang berada kira-kira 300m.

Yeoh berkata, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias dalam maklum balas dalam ciapan di Twitter, menyatakan pagar sementara didirikan susulan kerja naik taraf.

Bagaimanapun, Yeoh berkata, pagar besi setinggi 1.5m kelihatan seperti struktur kekal.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Apabila ada pagar seperti ini, ia seperti menghantar mesej bahawa padang ini bukan lagi dibuka kepada orang awam,” katanya.

“Kita hanya ada beberapa sahaja padang seperti ini yang digunakan orang awam (bersukan dan bersantai).

“Bayangkan sekiranya ia berlaku di Dataran Merdeka. Orang ramai yang mahu bersantai, tapi tak boleh.

“Ini tidak mesra rakyat…dan saya fikir rakyat di KL tidak boleh menerima tindakan ini.”

Fahmi berkata, beliau tidak membantah kerja naik taraf di padang berkenaan, namun tidak bersetuju pagar seperti itu didirikan, selain menegaskan ia mengganggu aktiviti rekreasi.

Beliau turut menuntut Jalaluddin memberi penjelasan jumlah wang dibelanjakan untuk mendirikan pagar dan kerja naik taraf padang.

“Pagar ini memisahkan ‘grandstand’ dan padang serta tidak mesra pengguna,” katanya.

“Kebiasaannya, apabila kita melihat pagar seperti ini di KL, ia didirikan rendah dan digunakan bagi langkah pencegahan jenayah. Ini tidak menghantar mesej yang baik.”

Pada 17 Ju, hampir 500 peguam berkumpul di Padang Merbok sebelum berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan supaya mempertahankan kebebasan kehakiman.

Bagaimanapun, perarakan itu gagal seperti dirancang susulan polis hanya membenarkan 20 peguam sahaja menuju ke bangunan Parlimen, cadangan yang mana ditolak Badan Peguam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin, kemudian hadir di padang terbabit untuk menerima memorandum daripada Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

FMT sudah menghubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.