Azeez minta kerajaan bertindak tangani fenomena geologi berangkai di Baling

Azeez minta kerajaan bertindak tangani fenomena geologi berangkai di Baling

Ia susulan laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengenai banjir di Baling yang berpunca fenomena geologi berangkai iaitu hujan lebat, tanah runtuh, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur.

Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penduduk di Sungai Kupang mahu status keselamatan di kawasan itu segera diisytiharkan selamat atau sebaliknya.
BALING:
Kerajaan diminta mengambil tindakan segera bagi membendung fenomena proses geologi berangkai yang dikenal pasti sebagai penyebab utama kejadian bencana banjir di daerah ini, 4 Julai lalu.

Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penduduk kampung khususnya yang tinggal berdekatan dengan Sungai Kupang masih tertanya-tanya tentang keselamatan mereka dan bimbang sekiranya fenomena itu berulang semula.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, saya cuma nak cari penyelesaian. Rakyat saya di sini masih trauma, ramai yang minta dipindahkan (selepas kejadian itu).

“Kerajaan negeri dan persekutuan telah memberikan bantuan sewa rumah dan akan bina rumah baharu bagi mangsa yang kehilangan rumah, tapi bagi penduduk lain yang tinggal di tepi sungai mereka juga bimbang,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan peralatan elektrik kepada mangsa banjir di Kampung Sadek di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), semalam yang membuat kesimpulan bahawa kejadian banjir di daerah ini pada 4 Julai lalu berpunca oleh fenomena proses geologi berangkai – hujan lebat, tanah runtuh, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur.

Pada taklimat media mengenai Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, semalam, Ketua Setiausaha KeTSA Rosli Isa berkata, penemuan dalam laporan itu dihasilkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang diketuai kementerian itu.

Abdul Azeez berkata, pihaknya menerima hasil yang dirumuskan oleh KeTSA berhubung kejadian itu, namun meminta agar status keselamatan kawasan di Sungai Kupang segera diisytiharkan sebagai selamat atau sebaliknya.

“Kalau sekiranya KeTSA dan jabatan berkaitan telah mengambil tindakan dan dapat memastikan kawasan itu selamat, saya akan sampaikan kepada penduduk dan yakinkan mereka untuk baiki rumah dan tinggal di situ.

“Kalau kerajaan bagi keputusan bahawa kawasan itu telah selamat, saya yakin dan percaya kerajaan akan bertanggungjawab atas kenyataan yang mereka beri dan kajian yang dijalankan saya yakin ianya benar dan kita kena akur dengan kajian mereka,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini bahawa kerajaan akan menyediakan peruntukan dan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir di daerah ini dan pembinaan jambatan baharu di Kampung Iboi.

Banjir Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.