Ahli Parlimen Puncak Borneo sah sertai PBB, kata Abang Jo

Ahli Parlimen Puncak Borneo sah sertai PBB, kata Abang Jo

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dikatakan mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, Willie Mongin diterima sebagai ahli PBB hari ini tanpa sebarang komitmen. (Gamabr Bernama)
PETALING JAYA:
Teka-teka mengenai status permohonan Willie Mongin akhirnya terungkai apabila Ahli Parlimen Puncak Borneo itu secara rasmi diterima sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Premier Sarawak, Abang Johari Openg, selepas permohonan Willie diterima PBB selaku parti tunjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dikatakan mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo, atas tiket PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot Sinel.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum menyertai Bersatu.

“Keputusan untuk menerima Willie sebagai ahli PBB itu dibuat hari ini tanpa sebarang komitmen,” kata Abang Johari seperti dilaporkan Berita Harian.

Pada Jun lalu, Willie memaklumkan tidak pernah menyertai Bersatu, tetapi hanya diletakkan dalam parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan lain, Abang Johari ketika ditanya mengenai Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti berkata, Sarawak sedang mengkaji semula Perlembagaan Negeri berhubung perkara itu.

“Sarawak memang sudah ada peruntukan undang-undang berhubung perkara itu dalam Artikel 17 Perlembagaan Negeri Sarawak, tetapi kita tak dapat melaksanakannya kerana dahulu ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“GPS menyokong penuh RUU di Parlimen itu dan kita akan melihat peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, Artikel 17 supaya ia sepadan dengan peruntukan yang diluluskan Parlimen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.