16 kesatuan fail saman isytihar pemilihan MTUC tidak sah

16 kesatuan fail saman isytihar pemilihan MTUC tidak sah

Kumpulan itu mendakwa persidangan perwakilan tritahunan dan pemilihan MTUC itu bulan lepas adalah menjangkau perlembagaan kesatuan.

Menurut saman itu, MTUC gagal mengemukakan laporan setiausahanya bersama penyata kewangan sejak tiga tahun lepas.
PETALING JAYA:
Sekumpulan kesatuan gabungan utama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memfailkan dua saman terhadap pemegang jawatan utama yang baru dipilih kerana mendakwa mereka melanggar perlembagaan pertubuhan itu dengan mengadakan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) bulan lepas dan pemilihan.

Enam belas kesatuan itu memohon pengisytiharan bahawa pemilihan pada 2 dan 3 Julai lalu tidak sah. Mereka juga memohon perintah supaya 19 pemegang jawatan baharu bagi penggal 2023-2025 tidak membincang atau mengubah perkara dasar, sementara menunggu pelupusan permohonan itu.

Gabungan itu diketuai bekas presidennya, Halim Mansor dan bekas setiausaha agung, J Solomon.

Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini menetapkan 10 Ogos untuk pengurusan kes injunksi itu, manakala permohonan perintah kedua akan diuruskan 18 Ogos ini. Menurut jurucakap pasukan peguam kumpulan itu, dokumen terbabit sudah diserahkan kepada kepimpinan MTUC.

Antara kesatuan terlibat adalah Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank, Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu, Persatuan Pegawai Kelas 1 Maybank, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia serta Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia.

FMT telah menghubungi Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor untuk mengulas.

Dalam saman yang dilihat FMT, kumpulan itu mendakwa kepimpinan MTUC gagal mematuhi kehendak perlembagaan kongres dalam mengadakan TDC dan pencalonan untuk pemilihan. Mereka berkata, MTUC juga gagal menyediakan laporan setiausaha dan penyata kewangan sejak tiga tahun lepas.

Sehubungan itu, mereka memohon pengisytiharan bahawa pemilihan itu terbatal dan tidak sah serta mahu pemilihan baharu diadakan.

“Pimpinan MTUC gagal memanggil persidangan perwakilan sekurang-kurangnya tujuh minggu sebelum tarikh tersebut dan pencalonan sepatutnya ditutup pada 12 Mei seperti dikehendaki, tetapi ia dibuat tiga hari lebih awal. Ia juga gagal menyerahkan laporan setiausaha dan penyata kewangan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum TDC,” kata kumpulan itu dalam pernyataan tuntutan.

Di bawah perlembagaan, katanya, TDC sepatutnya diadakan bila-bila masa antara Oktober dan Disember tahun ketiga penggal, tetapi pemimpin terbabit sebaliknya mengadakan TDC pada Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.