
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Rosli Isa, berkata pendedahan itu dibuat hasil siasatan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang turut mengesan ratusan runtuhan tanah kecil berlaku sejak 15 tahun lalu.
“Penemuan laporan kajian ini merumuskan bahawa faktor penyebab utama bencana di Sungai Kupang, Baling adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai, iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terrain perbukitan granit terluluhawa,” katanya dalam sesi taklimat kepada media di ibu pejabat KeTSA.
Katanya, kejadian itu berlaku disebabkan cetusan hujan lebat melampau di Gunung Inas diikuti pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur dengan tanah runtuh.
Rosli yang mengetuai pasukan itu berkata, anggaran berdasarkan kuantiti bahan puing di dalam alur sungai selepas bencana menunjukkan jumlah air adalah sebanyak 11 juta meter padu dan ia menggambarkan bahawa curahan hujan berlaku sekitar 290mm per jam.
Beliau berkata, hakisan di hutan sekunder adalah akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak 2010.
“Ia telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai dan keadaan tersebut diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi menjadi ’empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku.
“Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul lalu pecah serta menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda,” katanya
Katanya, kolam takungan air, tandak dan kolam perangkap kelodak di sepanjang alur sungai tidak memainkan peranan dalam bencana itu, sebaliknya menjadi mangsa kepada rempuhan aliran puing.
Rosli berkata, pasukan khas turut mencadangkan kepada kerajaan Kedah beberapa syor bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang antaranya menjadikan Gunung Inas kawasan hutan simpan perlindungan dan kawasan tadahan atau dikekalkan sebagai ladang tumbuhan hutan yang bersesuaian dengan tanah di kawasan itu.
Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Ibrahim Komoo, berkata sebanyak 2.3 juta meter padu bongkah, kerikil dan pasir berada di atas kawasan tanah tinggi manakala sebanyak 7.3 juta meter padu sisa puing telah dibawa arus mengakibatkan perkampungan di kawasan berkenaan dilimpahi pasir, sungai menjadi cetek dan mengalami banjir lebih kerap.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah, yang turut menghadiri taklimat itu berkata, kesan banjir tersebut mengakibatkan sejumlah 972 premis kediaman dan perniagaan terjejas dengan 46 struktur awam mengalami kerosakan.
Katanya, jumlah kediaman musnah adalah 17 buah, selain 406 motosikal dan 180 kereta dilaporkan mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri membina semula rumah membabitkan keluarga yang kediaman mereka musnah sama sekali.