Pelajar parah langgar gajah ketika tunggang motosikal

Pelajar parah langgar gajah ketika tunggang motosikal

Ibu mangsa berkata pelajar itu mengalami pendarahan di kepala dan sedang ditidurkan tetapi keadaannya stabil.

Muhammad Danish Saedin parah selepas terlanggar gajah di Jalan Kota Tinggi-Kluang semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar parah selepas terlanggar gajah di Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat Taman Seri Impian, Kluang malam tadi.

Ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata sebelum kejadian anaknya Muhammad Danish Saedin, 17, dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian sebelum pulang ke rumah di Taman Sri Lambak.

Beliau berkata, saksi kejadian memaklumkan anaknya masih sedar selepas perlanggaran itu.

“Doktor mengatakan terdapat pendarahan di kepalanya dan kekal. Ketika ini, anak saya sedang ditidurkan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Saya mendapat tahu berita kemalangan daripada rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah. Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selepas itu,” katanya menurut Harian Metro.

Mislawati berharap pihak berkuasa memandang serius isu kemunculan gajah di kawasan berdekatan perumahan penduduk di Kluang akhir-akhir ini.

Beliau juga meminta pihak berkuasa memasang lampu jalan di kawasan terbabit yang gelap pada waktu malam.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.