Keputusan terhadap nasib 4 ADUN ditangguh, kata KM

Keputusan terhadap nasib 4 ADUN ditangguh, kata KM

Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan selepas saman dikemukakan ADUN itu didengar di mahkamah.

Saman difailkan empat ADUN (dari kiri) Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Zolkifly Md Lazim sebagai tindak balas menyekat usul mengosongkan kerusi mereka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
GEORGE TOWN:
Keputusan berhubung nasib empat ADUN Pulau Pinang yang didakwa berpaling tadah ditangguh sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

ADUN berkenaan – Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Zolkifly Md Lazim – sebelum ini memfailkan injunksi terhadap usul dikemukakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk mereka mengosongkan kerusi selepas menukar sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri akan memohon Mahkamah Tinggi bersidang secepat mungkin untuk mendengar permohonan pihak terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, ia membolehkan empat ADUN itu membuat keputusan sama ada kekal untuk memfailkan saman atau menggugurkannya susulan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan undang-undang anti-lompat Pulau Pinang adalah sah.

“Sebarang keputusan diputuskan Mahkamah Tinggi akan menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi terbabit sebagai kosong, mengikut mana-mana berkenaan.

“Kerajaan Pulau Pinang tetap tegas mempertahankan mandat pengundi dan wakil rakyat wajib dipertanggungjawabkan atas tindakan bertentangan dengan mandat diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Chow berkata, sidang DUN khas untuk meminda undang-undang tubuh negeri tidak perlu memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan sudah memadai.

Saman daripada empat ADUN bermula difailkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengumumkan akan mengemukakan usul mengosongkan kerusi disandang mereka.

Kerajaan negeri tidak akan terjejas walaupun empat mereka meninggalkan gabungan kerana PH menguasai dua pertiga majoriti di DUN.

Afif dan Zulkifli dipecat dari PKR selepas menukar sokongan kepada PN, manakala Khaliq dan Zolkifly, berasal dari Bersatu.

Mereka sebelum ini memfailkan injunksi terhadap DUN Pulau Pinang daripada meluluskan usul mengosongkan kerusi selepas mereka bertindak menyokong PN.

Usul berkenaan ditangguhkan bertujuan mengelak berlakunya pilihan raya kecil ketika pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.