Harga makanan ayam: MyCC minta 5 pengisar jawab dapatan siasatan

Harga makanan ayam: MyCC minta 5 pengisar jawab dapatan siasatan

Siasatan awal Suruhanjaya Persaingan mendapati lima pengisar melakukan amalan bersepadu yang mengakibatkan kenaikan harga makanan ayam.

MyCC berkata, cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.
KUALA LUMPUR:
Siasatan awal Suruhanjaya Persaingan (MyCC) mendapati lima pengisar melakukan amalan bersepadu yang mengakibatkan kenaikan harga makanan ayam.

MyCC dalam kenyataan berkata lima pengisar terbabit berkongsi “maklumat perdagangan sensitif” yang dilihat berpotensi mengganggu persaingan.

Katanya, melalui penetapan harga pada kuantum yang sama yang menyebabkan kenaikan yang sama dalam kalangan perusahaan, pilihan pembeli dalam memilih pembekal makanan ayam yang menawarkan harga terbaik menjadi terhad.

MyCC mendakwa amalan tersebut dilakukan antara awal 2020 sehingga pertengahan 2022. FMT tidak menamakan lima perusahaan terbabit memandangkan penemuan MyCC masih dapatan awal.

Suruhanjaya itu hari ini mengeluarkan keputusan cadangan terhadap perusahaan terbabit, yang diberi peluang mengemukakan representasi dalam tempoh 30 hari.

“Memandangkan penemuan MyCC melalui keputusan cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar undang-undang pada peringkat ini,” katanya.

Keputusan akhir sama ada terdapat atau tidak pelanggaran Akta Persaingan hanya akan dibuat selepas mendengar dan mempertimbangkan representasi mereka, bersama bukti yang dikumpul penyiasat.

Sekiranya terdapat pelanggaran, MyCC boleh mengenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada pusing ganti seluruh dunia oleh perusahaan terbabit sepanjang tempoh pelanggaran, selain arahan tertentu yang dianggap wajar.

“Perjanjian anti-persaingan atau juga dikenali sebagai perjanjian kartel menyebabkan kerosakan yang signifikan kepada ekonomi serta pengguna secara amnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.