
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng memuji MIC kerana membangkitkan persoalan mengenai isu tersebut walaupun ia membabitkan ahli Bersatu, rakan kerjasama MIC dalam kerajaan.
“Saya berdiri bersama-sama MIC untuk mendesak DBKL memberikan penjelasan serta membatalkan lantikan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
“Saya juga ingin mendapatkan jawapan bagaimana individu tersebut boleh melepasi saringan bagi pemilihan ahli lembaga DBKL.
“Saya berharap pihak DBKL dapat mengumumkan secara terbuka jika ada ahli lantikan dan staff DBKL lain berstatus muflis masih berada dan bertugas di DBKL.”
Semalam, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran menggesa DBKL menjelaskan mengapa ia melantik individu yang didakwa muflis itu sebagai ahli lembaga.
Laporan Malaysiakini memetiknya sebagai berkata, carian di Jabatan Insolvensi mendapati individu itu diisytiharkan muflis pada Januari 2021, tetapi dilantik menjadi ahli lembaga pada Oktober.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL Khairul Anuar Juri berkata, pihak DBKL sedang menyemak perkara itu.