Seludup 12 anak anjing RM96,000, lelaki ditahan

Seludup 12 anak anjing RM96,000, lelaki ditahan

Penahanan lelaki berusia 59 itu tahun selepas PGA menyerbu Pangkalan Haram Jali, Kampung Jenub, Tanah Merah, Kelantan.

Pemeriksaan dalam kereta suspek menemui lima sangkar mengandungi 12 anjing jenis ‘Cyprus Poodle’ dan ‘Pomeranian’. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan menahan seorang lelaki sebelum menemui 12 anak anjing baka ‘Cyprus Poodle’ dan ‘Pomeranian’ bernilai RM96,000 yang diseludup dari negara jiran di Pangkalan Haram Jali, Kampung Jenub, Tanah Merah, Kelantan.

Rampasan itu dilakukan selepas PGA menyerbu sebuah kereta yang diletakkan berhampiran pengkalan haram itu pada 12 tengah hari kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata ketika intipan dijalankan, sebuah perahu dari Thailand dengan membawa beberapa bakul menuju ke tebing sungai.

Katanya, beberapa lelaki dilihat memunggah bakul ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu di kawasan berhampiran pengkalan haram berkenaan.

“Anggota PGA terus membuat serbuan sebelum semua lelaki yang memunggah barang itu berjaya melarikan diri, namun polis sempat menahan pemandu kereta tersebut yang berusia 59 tahun.

“Pemeriksaan dalam kereta itu telah menjumpai lima sangkar yang mengandungi 12 ekor anjing jenis ‘Cyprus Poodle’ dan ‘Pomeranian’,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata, semua anjing dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.