Mahasiswa tercicir akibat Covid-19 boleh sambung semula pengajian

Mahasiswa tercicir akibat Covid-19 boleh sambung semula pengajian

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata pihaknya mengambil berat kebajikan semua pelajar termasuk yang tercicir akibat pandemik Covid-19.

Kementerian menerusi institusi pengajian tinggi awam menyediakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik, bagi membantu pelajar IPTA meneruskan pengajian.
PETALING JAYA:
Mahasiswa yang tidak menamatkan pengajian atau tercicir akibat penularan Covid-19, boleh memohon untuk menyambung semula pengajian melalui UPUOnline.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, berkata pihaknya mengambil berat kebajikan semua pelajar, termasuk yang tercicir akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, tiada masalah bagi pelajar yang terpaksa menangguhkan pengajian atas sebab sama untuk menyambung pengajian di universiti masing-masing.

“Kementerian menerusi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut menyediakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik, bagi membantu pelajar di Ipta meneruskan pengajian mereka.

“Kita juga menyediakan program intervensi bukan akademik seperti perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok, ‘buddy system’, program motivasi, program mentor-mentee, ‘Academic Special Program’ dan program kesedaran dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, menurut Berita Harian.

Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR-Johor Bahru) mengenai langkah kementerian dan universiti awam membantu mahasiswa tercicir, termasuk yang tidak dapat meneruskan pengajian atau terpaksa menangguhkan pengajian, akibat pandemik Covid-19.

Noraini berkata, inisiatif kementerian melalui Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti dinyatakan dalam Lonjakan 3: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025, bertujuan memastikan peluang pembelajaran sentiasa terbuka bagi semua lapisan masyarakat.

Menyokong agenda itu, katanya, kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga menggalakkan penyertaan dalam kursus microcredentials yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sijil yang diperoleh daripada kursus microcredentials membolehkan seseorang untuk membuat pemindahan kredit apabila mendaftar ke program pengajian di IPT.

“Kementerian juga menyediakan laluan alternatif untuk kemasukan ke IPT melalui Laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) atau dikenali sebagai APEL.A dengan kemasukan menerusinya tidak memerlukan sebarang kelayakan formal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.