Ahli Bersatu bidas ketua sayap bersekutu baharu atas pemecatan

Ahli Bersatu bidas ketua sayap bersekutu baharu atas pemecatan

S Gobi Krishnan mendakwa, tindakan Chong Fat Full itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

S Gobi Krishnan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua sayap bersekutu Bersatu yang baru dilantik, Chong Fat Full. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
S Gobi Krishnan daripada Bersatu membidas pemimpin sayap bersekutu yang baharu dilantik, Chong Fat Full, dengan menuduhnya melanggar perlembagaan parti apabila mengumumkan beliau dipecat.

Semalam, Chong mengesahkan Gobi Krishnan dipecat daripada semua jawatan dalam parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas sayap itu mendapati Gobi Krishnan telah diisytiharkan muflis pada 7 Jan tahun lepas.

“Chong telah bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti kerana sebagai ketua sayap bersekutu, beliau tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat sesiapa daripada mana-mana jawatan dalam parti,” kata Gobi Krishnan dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, perlembagaan parti menetapkan bahawa hanya lembaga tatatertib boleh memecat ahli melalui proses yang sewajarnya.

Beliau juga menuduh Chong menggunakan faktor kaum ketika bercakap pada sidang media.

Katanya, beliau akan membuat aduan rasmi terhadap Chong kepada setiausaha agung parti serta lembaga tatatertib parti kerana bertindak di luar kuasanya dan mendedahkan hal ehwal dalaman parti kepada umum.

Beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chong kerana memfitnah.

Chong, yang juga bekas ADUN Johor, sebelum ini mengambil alih jawatan ketua sayap bersekutu Bersatu berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar bulan lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.