Tokong 2 tingkat di Air Itam terbakar

Tokong 2 tingkat di Air Itam terbakar

Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, menurut bomba.

Kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke premis lain dalam tempoh 15 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 7 malam, menurut bomba. (Gambar Facebook Persatuan Bomba Sukarela Perak Lane)
GEORGE TOWN:
Sebuah tokong dua tingkat di Lorong Lembah Ria, Air Itam, terbakar petang semalam, namun tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.17 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong terus ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati api sedang marak dan sebahagian tokong berkeluasan 149 meter persegi itu telah terbakar, operasi pemadaman dijalankan bagi memadam kebakaran tersebut.

“Lebih 80% premis dua tingkat itu musnah dalam kebakaran dan tiada mangsa dilaporkan terlibat kerana difahamkan penjaga tokong serta pengunjung sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran,” katanya, malam tadi.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke premis lain dalam tempoh 15 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 7 malam.

Beliau berkata seramai lebih 50 pegawai dan anggota bomba dari BBP Paya Terubong, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru dibantu Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.