Tak perlu iklan ucapan hari lahir, kata Abang Jo

Tak perlu iklan ucapan hari lahir, kata Abang Jo

Premier Sarawak tidak mahu mereka membelanjakan wang bagi iklan seumpama itu memandangkan keadaan ekonomi sukar ketika ini termasuk tekanan inflasi.

Premier Sarawak Abang Johari Openg bagaimanapun menghargai ingatan murni, namun berpandangan ucapan hari lahir untuk diiklankan di akhbar sebagai tidak perlu. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Premier Sarawak Abang Johari Openg berharap kenalan dan mereka yang ingin mengucapkan tahniah sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-72 esok, tidak perlu membeli iklan di akhbar.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan, memaklumkan walaupun Abang Johari menghargai niat baik tersebut, namun beliau tidak mahu mereka membelanjakan wang untuk iklan seumpama itu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sukar ketika ini dan keperluan membendung tekanan inflasi.

“Namun begitu, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas ingatan murni mereka sempena ulang tahun kelahirannya ke-72,” menurut kenyataan itu.

Abang Johari membuat permintaan sama tahun lalu dengan memaklumkan mereka yang ingin meletakkan iklan bagi mengucapkan tahniah kepadanya agar menyalurkan wang berkenaan ke Tabung Bencana Covid-19 Negeri.

Abang Johari dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang, Sarawak dan beliau merupakan anak kepada Gabenor pertama Sarawak, Abang Openg Abang Sapiee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.