Polis kaji semula pindah anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

Polis kaji semula pindah anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

Pejabat setiausaha kerajaan Sarawak dalam kenyataan berkata keputusan pertukaran itu akan dikaji semula pucuk pimpinan polis.

Menurut semakan pejabat setiausaha kerajaan Sarawak, belum ada anggota dimaksudkan melaporkan diri di kontinjen polis Sarawak setakat ini.
KUALA LUMPUR:
Keputusan berhubung pertukaran sembilan anggota polis dipercayai terlibat kes peras ugut di Gombak, baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.

Pejabat setiausaha kerajaan Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah membuat semakan dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, dan dimaklumkan bahawa belum ada anggota dimaksudkan melaporkan diri di kontinjen polis Sarawak, setakat ini.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Sarawak menyambut baik usaha polis bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun berharap polis menempatkan pegawai dan anggota berintegriti tinggi serta bebas daripada sebarang siasatan jenayah.

“Polis menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan polis,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, sebelum ini dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor, mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini, telah ditempatkan bertugas di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.