Bagi dulu diskaun 50% rumah di negeri BN sebelum tabur janji di Selangor, kata ADUN PH

Bagi dulu diskaun 50% rumah di negeri BN sebelum tabur janji di Selangor, kata ADUN PH

Cadangan wakil MCA itu sekadar populis tetapi tidak praktikal memandangkan kos bahan binaan telah meningkat dan pemaju sukar memenuhi permintaan rumah kos rendah.

Cadangan oleh MCA itu disifatkan sebagai sekadar omong-omong kosong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Selangor menyifatkan cadangan MCA untuk menurunkan harga rumah mampu milik 50% jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang sebagai wayang politik semata-mata.

ADUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, berkata BN tidak perlu menunggu selepas pilihan raya untuk menurunkan harga rumah, sebaliknya boleh melaksanakannya sekarang memandangkan parti itu kini mentadbir Putrajaya.

Katanya, usaha menyediakan rumah kos rendah patut dilakukan di negeri ditadbir kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sebelum bermimpi untuk menawarkannya kepada rakyat Selangor sebagai janji politik.

“MCA patut minta kerajaan Persekutuan dahulu laksana (pengurangan harga rumah 50%) dalam dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum cadang (untuk) Selangor.

“Cadangan ini hanya sekadar populis tetapi tidak praktikal memandangkan kos bahan binaan telah meningkat, dan pihak pemaju sukar memenuhi permintaan rumah kos rendah.

“Namun kerajaan Selangor tetap laksana di bawah program Rumah Selangorku, Rumah Idaman dan Rumah Harapan dengan cara ‘cross subsidy’,” katanya yang juga setiausaha politik menteri besar Selangor kepada FMT.

Sementara itu, Ketua Whip PH Selangor Elizabeth Wong, mencabar MCA mendesak kerajaan BN Melaka dan Johor yang baharu memenangi pilihan raya negeri untuk membina rumah dengan potongan harga 50%.

“Apa yang MCA sebut hanya omong-omong kosong sahaja. Mereka tidak akan dan tidak mampu buatpun,” katanya yang juga ADUN Bukit Lanjan.

Sementara itu, ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu menghargai usaha pemimpin MCA itu untuk menunjukkan rasa simpati kepada rakyat Selangor dengan menawarkan rumah kos rendah. Bagaimanapun katanya, cadangan itu tidak masuk akal dan tidak mencerminkan realiti sebenar apabila kos hartanah di negeri itu sememangnya tinggi ditambah harga bahan binaan mahal ketika ini.

“Cuma kerajaan negeri boleh mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai untuk mendirikan projek rumah mampu milik bersama pemaju berkewibawaan.

“Cara ini boleh merendahkan kos pembinaan pada keseluruhannya untuk memanfaatkan kaum berpendapatan rendah,” kata wakil rakyat DAP itu.

Terdahulu MCA Selangor mencadangkan harga rumah mampu milik di Selangor diturunkan sebanyak 50%, jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua MCA Selangor Ng Chok Sin, mencadangkan supaya harga rumah mampu milik yang dibina di bawah program kerajaan negeri dikurangkan daripada RM250,000 kepada RM125,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.