Tasik Chini: 80% kawasan terjejas dipulihkan, kata MB

Tasik Chini: 80% kawasan terjejas dipulihkan, kata MB

Penghijauan kawasan telah dilakukan dengan menanam tanaman tutup bumi di kawasan seluas hampir 200 hektar dengan kos RM3.95 juta.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri komited dan berusaha sehabis baik demi memastikan status Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) diperoleh pada 2009 kekal.
KUANTAN:
Kerja pemulihan Tasik Chini di Pekan berjalan lancar dengan 80% daripada kawasan terjejas telah dipulihkan, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang telah meninjau lokasi tersebut dua minggu lalu, berkata kerajaan negeri komited dan berusaha sehabis baik bagi memastikan status Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) yang diperoleh pada 2009 dikekalkan.

Antara tindakan yang telah dilaksanakan bagi memulihkan keadaan tasik yang terjejas akibat perlombongan dan pembalakan itu adalah dengan mewartakan tanah kerajaan sebagai Hutan Simpan Chini mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

Tasik Chini menurut Wan Rosdy, telah diwartakan sebagai hutan simpan dengan keluasan 6,502.80 hektar dan disiar warta kerajaan bertarikh 5 Ogos 2021.

“Tindakan penghijauan kawasan telah dilakukan dengan menanam tanaman tutup bumi di kawasan seluas lebih kurang 200 hektar dengan kos sebanyak RM3.95 juta menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan yang telah bermula tahun lepas.

“Projek Pemulihan Kawalan Hakisan dan Mendapan di dalam zon penampan Tasik Chini sepanjang 1.75 kilometer dengan kos RM2.5 juta juga telah selesai sepenuhnya pada 22 Jun lepas, menggunakan Wang Pemulihan Bersama dengan pelaksanaannya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Semambu) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri bagi memulihkan Tasik Chini hingga 30 Sept ini agar tidak dilucutkan status biosfera, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang.

Selain itu, Wan Rosdy juga memaklumkan proses pemulihan tasik yang terkenal dengan legenda naga itu turut melibatkan penduduk Orang Asli di sekitar tasik itu, menerusi pelaksanaan Program ‘Buy Back Guarantee’ yang setakat ini melibatkan 14 peserta dari Kampung Gumum, Kampung Cendahan, Kampung Puput dan Kampung Melai.

“Menerusi program ini, peserta dibekalkan dengan kelengkapan asas tapak semaian dan dibenarkan menjalankan kerja pengumpulan dan penyemaian biji benih dan anak pokok dari hutan berhampiran.

“Setiap anak pokok yang mencapai ketinggian 3 kaki (hampir satu meter) akan dibeli Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan harga RM3 sepokok dan setakat ini, 3,344 pokok telah dibeli,” katanya.

Wan Rosdy juga berkata, kempen penanaman pokok telah dilaksanakan pada 5 dan 6 Feb lalu, melibatkan sekitar 3,000 anak pokok oleh 400 peserta termasuk penduduk kampung dan 25 badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu usaha pemulihan tasik berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.